AKTIVITI

Pengikut

Selasa, 16 November 2010

Ucapan Pengerusi GAMIS Negeri Sabah Sempena Hari Raya Aidil Adha 1431 H / 2010 M.

Salam Aidil Adha dan Salam Mahasiswa.

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.'' (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)'

Berlalu Hari Raya Aidil Fitri tiba pula Hari Raya Aidil Adha. Kedua-dua hari raya ini merupakan hari kebesaran yang Allah hadiahkan untuk orang mukmin bagi menggantikan perayaan yang dirayakan mereka semasa mereka masih lagi tidak beriman kepada Allah. Aidiladha juga merupakan salah satu perayaan yang mengajak dan memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman untuk tunduk sujud kepada Allah SWT. Umat Islam merayakan Hari Raya AidilAdha dengan bertakbir pada malam 10 Zulhijjah serta diikuti solat sunat hari raya Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah dan mendengar khutbah raya. 

Daripada sorotan sirah Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail, terdapat beberapa pengajaran penting yang hanya orang-orang beriman akan merasai dan menghayati kisah mulia  hamba Allah yang taat kepada perintah TuhanNya dan berkorban tanpa ada perasaan yang berbelah bagi demi menegakkan agama Allah.

1. Kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Umat Islam setelah kejatuhan sistem khalifah Islamiyyah telah menyimpang jauh daripada memahami ajaran Islam yang sebenarnya. Lebih teruk lagi, apabila umat Islam sendiri telah mengambil ajaran selain Islam dan mengamalkan seperti ianya ajaran daripada Allah SWT.Kejatuhan moral dan jati diri dapat kita lihat daripada berita-berita yang disiarkan di media massa setiap hari. Ajaran nasrani dan yahudi dijadikan akidah menjadikan anak muda muslim lebih seronok meraikan nafsu sendiri daripada meraikan perintah Allah. Melihat kepada berita anak luar nikah dibuang, kes budak-budak sekolah berzina, hiburan yang cenderung entah ke mana dan solusi-solusi yang tidak mesra syariat malah menambah kelat permasalahan umat, menatijahkan kepada satu sahaja penyelesaian iaitu dengan mengambil semula AL-QURAN dan SUNNAH baginda Rasulullah SAW. 

Islam telah lama menyediakan manual untuk manusia hidup sebagai manusia bukannya robot yang mengikut trend semasa ataupun terikut budaya barat atau timur. Firman Allah dalam surah Al-Muzammil : 

"(Dialah) Tuhan Timur dan Barat, tidak ada Tuhan selain Dia, maka jadikanlah Dia sebagai pelindung." (73:9). 

Nabi Ibrahim menjadi contoh terbaik seorang hamba yang sering berharap kepada TuhanNya dan tidak akan memungkiri dan melupakan bahawa dia adalah seorang hamba. Marilah kita bersama-sama mengambil semula dan memaham Islam dengan menyeluruh. Islam adalah agama yang sempurna dan nikmat tertinggi Allah berikan kepada hambaNya.

"Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar)"(As-Shaffat:99)

2. Pengorbanan di jalan Allah.

Salah satu tuntutan dalam Islam adalah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada sekalian manusia termasuklah keluarga sendiri, jiran tetangga, sahabat handai, pemerintah atau sesiapa sahaja. Rasulullah memberi amanat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Islam walaupun satu ayat. 

"Dan sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." (Hadis). 

Maka penggerak Islam di mana-mana khususnya di kampus perlu mengambil ibrah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk berkorban di jalan Allah. Dimanakah kedudukan kita selaku orang yang mendapat tarbiyah dan mempunyai ilmu Islam rela berkorban  demi menyampaikan ajaran Allah SWT untuk secicit keredhaan Allah? Setakat mana kita mampu mengorbankan apa yang kita ada demi meraih cinta Allah? Nabi Ismail yang masih kecil dan belum lagi mengenal dunia tetapi telah mengenal cinta kepada Allah sehingga rela dirinya disembelih oleh ayahnya kerana mentaati perintah Allah. Semangat pengorbanan di jiwa Nabi Ibrahim A.S dan Ismail A.S perlu kita terapkan dalam diri supaya kita lebih kuat berdakwah dan tidak merasa jemu untuk berdakwah. Kesabaran adalah sangat dituntut demi memastikan ISLAM di tempat tertinggi! Jangan jemu dan jangan mengalah!

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (As-Shaffat:102).

3. Menjadi murabbi dalam masyarakat.

Keluarga Nabi Ibrahim adalah 'role model' keluarga yang sangat tinggi tabiyyah dan pengorbanan kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim berjaya mendidik keluarganya untuk memahami Islam yang sebenar dah membawa mereka mengenal Allah SWT dengan sebenar-benar kenal.Justeru, inilah yang perlu kita bawakan kepada masyarakat. Membawa mereka mengenal Allah SWT. Hari ini Tuhan manusia adalah NAFSU. Nafsu menjadi dasar apabila melakukan sesuatu dan bukan lagi ayat-ayat Allah SWT. Hal ini kerana manusia, terutama orang Islam tidak lagi mengenal Allah SWT dan tidak merasakan kemanisan mentaati perintah Allah.

(106) Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata(107) Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar(108) Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian(109) Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!(110) Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.(111) Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.(112) Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.(113)Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.[As-Shaffat:99-113]

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua mahasiswa dan umat muslimin yang bakal menyambut Aidil Adha pada tahun ini. Semoga keberkatan dan peringatan Allah pada Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini kita bawakan dalam kehidupan seharian kita. Semoga kekentalan anak muda seperti Nabi Ismail dapat kita contohi. Tingkatkan amalan harian kita dan mujahadah melawan nafsu kerana itulah erti sebenar pengorbanan. 

Allahuakbar Walillah Ilham.

MOHAMMAD ASRAF SHARAFI BIN MOHAMMAD AZHAR,
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia,
Negeri Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...