AKTIVITI

Pengikut

Isnin, 20 Disember 2010

Jangan biarkan Toghut menjadi pemimpin.

"Mengundi? Politik semua penipu!"

Hatiku panas mendengar perkataan ini! Ingin sahaja aku berhujah dengan dia!

Itulah perkataan yang aku dengar kali kedua dalam sehari aku mencari rakyat Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab untuk memilih pemimpin (Daftar Pemilih = daftar untuk mengundi).

Saya sudah pernah menulis tentang kewajipan kita sebagai seorang yang beriman untuk melantik pemimpin dalam negara kita. Firman Allah SWT :

"Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat." (An-Nisa : 58).

Ayat ini di mulakan dengan perkataan 'inna' yang membawa maksud sesungguhnya. Sekiranya Allah memulakan 'inna', adalah menunujukkan bahawa perkara yang disampaikan selepas perkataan ini adalah perlu diambil serius.

Sebagai contoh, jika seorang suami mengatakan kepada isteri,

"Sungguh, abang sayang pada ayang." Dari sudut psikologinya, sudah tentu si isteri mengmbil serius tentang perkataan si suami ini dan akan wujud perasaan kasih antara kedua suami isteri ini kerana dimulakan dengan perkataan 'sungguh' yang membawa makna 'tidak main-main'.

Begitu juga dengan ayat Allah di atas yang memulakan perintah-Nya dengan perkataan 'sungguh'. Jika si isteri boleh mengambil serius dengan kata-kata suami yang memulakan dengan perkataan 'sungguh', mengapa kita sebagai Hamba Allah tidak mengambil serius dengan 'kata-kata-Nya'? Sedangkan Dia adalah zat yang tersangat mulia dan tidak ada yang sama dengan Dia dan Dia yang menciptakan manusia, langit, bumi dan sebagainya.

Seterusnya, Allah menyambung ayatnya dengan menyebut nama-Nya iaitu Allah. Apabila Allah memulakan ayatnya dengan perkataan Allah selepas perkataan 'inna', bermakna hal itu sangat serius. Kerana Allah sendiri menggunakan nama-Nya sebagai Tuhan yang mengarahkan satu tanggungjawab kepada kita.

Perkataan 'yak murukum' bermakna menyuruhmu. Oleh itu, adalah menjadi satu kewajipan kepada perkara yang ada pada ayat tersebut.

"Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya..."

Ayat ini merupakan satu perintah wajib kepada kita untuk memilih petugas yang betul-betul layak untuk melaksanakan tugas. Begitu juga kepada pemimpin. Pemimpin adalah petugas untuk menjaga agama dan negara.

Pemimpin negara perlu dilantik mengikut acuan Islam, iaitu seorang yang taat kepada Allah SWT.

Dalam negara kita, membuang undi adalah cara untuk kita melantik pemimpin. Maka, menjadi satu kewajipan kepada kita untuk mengundi ataupun melantik pemimpin negara kita. Hal ini menjadi wajib kerana sudah tercatat di dalam ayat Allah di atas yang mewajibkan kita untuk melantik pemimpin yang adil.

Jika kita mengabaikan perlantikan pemimpin, maka, itu bermakna kita mengabaikan perintah Allah. Layakkah kita menjadi Hamba Allah dalam masa yang sama kita melanggar perintah-Nya?

Jika alasan semua parti politik adalah penipu, ini adalah satu alasan yang tidak munasabah.

Firman Allah SWT :

"Orang-orang yang beriman, mereka berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan toghut, maka perangilah kawan-kawan syaitan (taghut) itu, (kerana) sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah." (An-Nisa : 76).

Ayat ini memnunjukkan bahawa pertembungan antara fisabilillah dan fisabilittoghut akan berpanjanga sampai bila-bila. Selagi ada orang yang benar-benar beriman kepada Allah, selagi itu ada musuh Islam yang menggunakan pelbagai 'platform' seperti parti yang kononnya menjaga keadilan untuk negara padahal menggunakan kezaliman kepada rakyat menyuarakan pendapat dan hak mereka.

Dalam negara kita, ISA digunakan untuk menahan mana-mana pihak yang cuba membongkar kezaliman sekularisma. Inilah yang dikatakan taghut dan sewajibnya kita tentang habis-habisan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.

Oleh itu, kita hendaklah menjadi seorang rakyat yang tahu tentang perjuangan parti-parti politik yang ada di dalam negara kita supaya kita tahu mana yang benar dan salah. Kerana ayat Allah di atas adalah satu bukti bahawa jika wujud kejahatan, pasti penghapus kejahatan (kebenaran) juga wujud.

Wallahu'alam.

Rujukan : Tafsir (Al-Quran) Al-Azhar.

Oleh :

Mutahharah Kamarudin
Pengerusi Majlis Dakwah & Kebajikan,
GAMIS Sabah.

Khamis, 18 November 2010

Nasionalisme dan Bahayanya.


MUQADDIMAH

Semenjak kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 umat Islam di seluruh tanah air Muslimin telah melihat berlakunya perubahan mendadak di dalam asas penyatuan Muslimin. Penyatuan Muslimin yang bertolak daripada aqidah yang satu yang melampaui segala batas-batas keturunan, warna kulit dan kedudukan telah ditinggalkan oleh umat Islam untuk digantikan oleh kesatuan yang berasaskan fahaman kebangsaan atau nasionalisme barat. Ia adalah satu penyelewengan bidaah yang wajib ditolak dan dibetulkan kembali oleh setiap Muslimin di zaman ini. Kejahilan para ulama mengenai kesesatan fahaman kebangsaan telah mendorong umat Islam dari segala lapisan untuk menerima dan beramal dengan kesesatan ini tanpa mereka merasa takut kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan balasan azabNya yang pedih.
PENGERTIAN NASIONALISME
Di dalam menerangkan pengertian nasionalisme, Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia America menyebut:
Loyalty and devotion to the state such that national interest are placed above individual or global interest. It originates from the assumption that nations are the primary focus of political allegiance. In the religious context, for example: the focus of allegiance would be a supranational group such as Christendom or Christian community. Modern phenomena.
Takrif ini menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.
Dengan kata lain nasionalisme adalah merupakan ikatan yang berbentuk sekular yang menggantikan semua bentuk ikatan yang lain khususnya ikatan keagamaan di kalangan manusia terutamanya di barat yang berasaskan ajaran gereja Kristian. Ia adalah merupakan satu daripada panduan cara hidup sekular yang dikemukakan di zaman ini sebagai menggantikan panduan daripada sumber agama. Pentakrifan ini menjelaskan bahawa nasionalisme itu pada hakikatnya adalah fahaman penyatuan manusia yang berasaskan mendahulukan kepentingan bangsa dan negara di atas segala kepentingan yang lain.
PERCANGGAHAN NASIONALISME DENGAN AGAMA ISLAM
Daripada kesedaran kita mengenai hakikat sebenar fahaman kebangsaan itu maka nyatalah kepada kita percanggahan yang tidak dapat dielakkan di antara ideologi nasionalisme dengan ajaran-ajaran yang terdapat di dalam syariat Islam. Ia adalah percanggahan-percanggahan yang menuntut setiap Muslimin agar menolak sepenuhnya fahaman tersebut daripada diamalkan di dalam sebuah masyarakat beragama Islam. Ia adalah percanggahan yang lahir akibat daripada tabiat Islam sebagai sebuah ajaran yang berjuang untuk menyatukan manusia di atas asas pengabdian kepada Allah s.w.t. semata-mata dan di atas asas menegakkan keadilan Tuhan di dunia ini. Secara asasnya percanggahan tersebut bolehlah dibariskan kepada empat bahagian seperti berikut:
(1) Ia adalah fahaman yang membina penyatuan manusia di atas asas menerima pensyarikatan yang berlaku di kalangan manusia terhadap ketuhanan Allah s.w.t. di alam ini. Ia dengan itu adalah penyatuan yang tidak menjadikan kepentingannya membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepada membulatkan kehambaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Penyatuan yang meredhakan kekufuran seperti ini adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Ankabut ayat 25 yang berbunyi:
Dan berkata Ibrahim: Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah s.w.t. adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tiada bagi kamu para penolong pun.
(2) Ia adalah fahaman yang membina kepentingan manusia di atas asas kepentingan di dunia semata-mata dengan melupakan kepentingan kesejahteraan manusia di akhirat. Kepentingan akhirat itu hanya dapat dicapai melalui ketaatan yang penuh kepada segala perintah Allah s.w.t. yang telah disampaikan oleh RasulNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Israa' ayat 18 dan 19 yang berbunyi:
Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahanam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.
(3) Ia adalah fahaman penyatuan yang bercanggah dengan syariat Islam yang berhubung dengan hukum al-wala'. Yang dikehendaki dengan hukum al-wala' ialah ajaran Islam yang melarang Muslimin daripada memberikan hak persahabatan, perlindungan, kepimpinan, kasih sayang dan pertolongan kepada golongan kuffar dan musyrikin dalam perkara yang menyalahi ketaatan kepada Allah s.w.t. atau di dalam perkara yang menyalahi hak persaudaraan sesama Muslimin.
Dari sini dapatlah difahami bahawa hukum wala' di dalam masalah kepimpinan bukanlah semata-mata persoalan setakat memastikan kekuasaan mutlak tidak berada di tangan golongan kuffar seperti yang difahami secara menyeleweng oleh penulis buku "Permasalahan Agama dan Politik" tetapi ia sebenarnya adalah persoalan memastikan bahawa orang-orang kafir tidak mendapat kuasa yang boleh menghalang orang-orang Islam daripada melaksanakan ketaatannya kepada Allah s.w.t. secara sempurna.
Di dalam negara yang mengamalkan nasionalisme sekular pada hari ini kuasa yang diberikan oleh perlembagaan negara kepada Muslimin adalah kuasa yang tidak melibatkan kebebasan mereka melaksanakan hukum Allah s.w.t. atau dengan kata lain ia adalah kuasa yang tidak menafikan kemestian orang-orang Islam mentaati orang-orang kafir di dalam hukum dan peraturan ciptaan mereka. Oleh itu persoalan para khalifah Islam yang terdahulu melantik dan memberi ruang kepada orang-orang kafir menjawat beberapa jawatan negara tidaklah boleh disamakan dengan corak pentadbiran negara sekular pada hari ini. Pemberian jawatan kepada golongan kafir zimmi pada zaman itu adalah berlaku di dalam suasana terlaksanya hukum Allah s.w.t. secara sempurna dan megah dan tidak pula membawa kerugian kepada umat Islam.
Seterusnya perlulah diingatkan mengenai kesesatan penulis tersebut yang cuba meletakkan persoalan melantik orang-orang kafir di tanah air pada hari ini sebagai termasuk di dalam rukhsah yang dibenarkan oleh syariat Islam. Perlulah difahami bahawa rukhsah di dalam Islam adalah digantungkan di dalam perkara ketaatan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ia sama sekali tidak dibenarkan dalam perkara maksiat dan mungkar seperti rukhsah yang difahami oleh penulis buku tersebut kerana rukhsah seperti itu adalah rukhsah yang membuka jalan untuk melakukan perkara yang amat mungkar iaitu menolak hukum Allah s.w.t. yang wajib dilaksanakan di dalam negara yang merupakan syarat kerjasama di antara orang-orang kafir dengan orang-orang Islam yang diletakkan oleh penjajah. Menolak hukum Allah s.w.t. dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia adalah perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang daripada Islam, firman Allah s.w.t. di dalam Surah As-Syura ayat 21 yang berbunyi:
Apakah mereke mempunyai sembahan-sembahan selain Allah s.w.t. yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah s.w.t. .
Seterusnya perlulah ditegaskan pula mengenai kesesatan penulis buku tersebut apabila beliau meletakkan perkara memberi sebahagian kepimpinan umat Islam kepada orang kafir sebagai termasuk di dalam taqiyyah yang dibenarkan oleh Islam. Perlulah difahami bahawa hukum taqiyyah hanyalah dimaksudkan oleh syarak sebagai rukhsah kepada orang perseorangan sahaja dan di dalam keadaan yang berkait dengan paksaan sahaja. Ia tidak dibenarkan untuk menjadi suatu kaedah umum yang boleh dipakai oleh umat Islam di dalam menghadapi golongan kuffar kerana hal tersebut akan menghilangkan kewajipan hukum jihad.
Adapun tindakan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu yang membayar ufti kepada kerajaan Siam itu dari sudut hukum syaraknya bukanlah termasuk di dalam perkara taqiyyah tetapi ia adalah termasuk di dalam persoalan siasah syari'yyah. Perlulah difahami dengan baik dan perlu dibezakan kedua perkara ini dengan jelas supaya tidak diperbodohkan oleh penulis buku tersebut dan seumpamanya daripada penyokong-penyokong fahaman sekular di tanah air.
Sesungguhnya umat Islam perlulah memahami bahawa di dalam keadaan negara pada hari ini Islam menjadikan jihad menurut peringkatnya sebagai kewajipan dan jalan menegakkan semula kedaulatan Islam itu.
(4) Ia adalah fahaman yang memusuhi usaha menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah di zaman ini sebagai sebuah ikatan politik umat Islam yang berasaskan aqidah dan syariat Islam. Kewujudan sebuah negara yang seperti ini adalah bercanggah dengan fahaman nasionalisme sekular. Perlulah difahami bahawa dari sudut sejarahnya gerakan fahaman nasionalisme di barat adalah bertujuan untuk menolak pemerintahan gereja di benua Eropah dan fahaman nasionalisme ini juga kemudiannya telah digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melahirkan penentangan bangsa Arab terhadap Khilafah Uthmaniyyah yang membawa kepada kelemahan dan kejatuhannya. Sesungguhnya menegakkan khilafah adalah wajib menurut hukum Islam. Dalam hal ini Imam Nawawi Rahimahullah telah berkata di dalam syarahnya kepada soheh Muslim dengan ucapan yang bermaksud:
"Para ulamak telah ijmak di atas kewajipan muslimin melantik khalifah."
Mengenai tugas khalifah itu pula antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hazmin di dalam kitab Muhalla. Beliau berkata:
"Hanya sanya Imam itu dilantik adalah untuk menegakkan sembahyang di kalangan manusia, memungut sedekah-sedekah mereka, melaksanakan hukum hudud mereka dan melaksanakan hukum di kalangan mereka dan berjihad melawan musuh mereka."
MENOLAK SYUBAHAT MENGENAI HAKIKAT ASSABIYYAH
Bagi melengkapkan perbincangan risalah ini dan bagi menambahkan faedahnya maka perlulah diberikan penjelasan mengenai hakikat assabiyyah dan hukumnya di dalam Islam. Keperluan ini timbul sebagai menolak syubahat yang telah dikemukakan oleh para pendokong fahaman nasionalisme sekular di zaman ini terhadap pengertian assabiyyah. Mereka pertamanya telah menafikan nasionalisme sebagai tergolong di dalam assabiyyah yang dimaksudkan di dalam keterangan hadith. Keduanya mereka telah menyamakan nasionalisme yang dianuti oleh kerajaan yang memerintah sebagai fahaman nasionalisme yang pernah diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith soheh yang bermaksud:
"Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah assabiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar assabiyyah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar assabiyyah." (Riwayat Muslim)
Oleh itu perlulah difahami bahawa kekeliruan ini adalah bertolak daripada tumpuan yang berlebihan kepada pengertian assabiyyah dari sudut bahasa sebaliknya melupakan pengertiannya dari sudut istilah menurut keterangan Rasulullah s.a.w. sendiri. Perlulah difahami bahawa mengutamakan pengertian lughawi dengan mengabaikan pemahamannya menurut keterangan Al-Quran dan Sunnah atau pemahaman para salafus soleh bagi sesuatu kalimah yang terdapat di dalam nas-nas syarak adalah merupakan cara perjalanan ahlul bidaah sepanjang zaman.
Di dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pemahaman sesuatu kalimah syarak mestilah dicari terlebih dahulu di dalam penjelasan Allah s.w.t. dan rasulNya dan para salafus soleh. Apabila telah tidak didapati barulah pegertiannya itu disandarkan kepada perbahasan lughawi. Di dalam hal ini pengertian assabiyyah telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri di dalam hadith baginda yang bermaksud:
"Assabiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."
Di dalam pengertian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini, baginda telah mengikat pengertian assabiyyah kepada membantu di atas dasar kezaliman. Penjelasan Rasulullah s.a.w. yang amat bijaksana ini adalah menepati dengan tabiat kesungguhan Rasulullah s.a.w.. Baginda telah menjelaskan pengertian assabiyyah itu dengan cara yang mendidik manusia kepada perubahan di dalam hidupnya kerana Islam tidak memandang sebarang faedah kepada perkataan yang tidak membawa kepada taat dan amal. Jawapan baginda yang bersifat tarbawi dan sentiasa mempunyai aspek amali yang mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t. adalah menjadi didikan Allah s.w.t. kepada baginda. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Baqarah ayat 189 yang berbunyi:
Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) Haji."
Manakala mengertikan assabiyyah dengan membahaskan maksud bahasanya adalah merupakan penyelewengan daripada pentakrifan Rasulullah s.a.w. dan mengandungi sejenis kegelapan dan kebodohan. Marilah kita bertanya adakah Rasulullah s.a.w. hendak mengajarkan kepada umatnya dari hadith tersebut mengenai kabilah arab? Tidak, tetapi Rasulullah s.a.w. ingin mengajarkan kepada umat baginda mengenai kewajipan meninggalkan kezaliman dan bahawa risalah Islam yang dibawa oleh baginda adalah memerangi kezaliman di dalam segala bentuknya, samada berbentuk fahaman, ajaran, syiar, budaya mahupun ikatan. Rasulullah s.a.w. ingin membentuk umat baginda sebagai umat yang bersih daripada kezaliman dan berjihad membebaskan manusia di dunia ini daripada kezaliman sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah An-Nisaa' ayat 75 yang berbunyi:
Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah s.w.t. dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau. Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah s.w.t. dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Apabila kita telah memahami bahawa assabiyyah itu ialah menolong bangsanya di atas dasar kezaliman maka pada ketika itu adalah jelas kepada kita bahawa fahaman nasionalisme sekular yang mempertahankan undang-undang sekular dan menolak undang-undang Allah s.w.t. yang diliputi oleh keadilan dari segenap sudut dan sisinya itu adalah fahaman yang benar-benar tergolong di dalam maksud hadith tersebut. Bahkan perlulah dinyatakan bahawa kezaliman yang menjadi tabiat fahaman nasionalisme moden itu adalah beratus kali ganda daripada kezaliman yang berlaku di dalam kabilah-kabilah Arab.
Kezaliman kabilah-kabilah Arab itu adalah berlaku kerana terlalu melebihkan keturunan mereka di dalam segala perkara, manakala kezaliman nasionalisme moden adalah kerana menyekutukan Allah s.w.t. S.W.T. di dalam salah satu daripada sifat UluhiyyahNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-An'am ayat 115-116 yang berbunyi:
Telah sempurna kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimatNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Firman Allah s.w.t. S.W.T. lagi di dalam Surah Al-Maidah ayat 45:
Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t., maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.
Firmah Allah s.w.t. di dalam Surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:
Sesungguhnya mempersekutukan (Allah s.w.t. ) adalah benar-benar kezaliman yang besar.
Seterusnya bagi menolak syubahat yang kedua kita perlulah memahami terlebih dahulu kaedah penting yang dipakai oleh para ulamak Islam bermaksud "Sesuatu hukum itu adalah digantungkan kepada kefahaman". Memahami kaedah ini adalah amat perlu untuk melahirkan hukum yang tepat kepada mereka yang kelihatan mengamalkan sesuatu bidaah yang bercanggah dengan syariat Islam. Ia juga adalah amat penting untuk menjadi asas bagi mengetahui fahaman sebenar ulamak-ulamak Islam yang kelihatan memakai syiar-syiar golongan kuffar. Bertolak dari kaedah inilah Al-Allamah Syeikh Said Hawwa telah berkata:
"Bahawa setiap syiar yang memalingkan manusia dari mengambil jalan Allah S.W.T. sebagai maksudnya dan sembahannya adalah syirik. Dengan ingatan bahawa hukum ke atas seseorang dengan kekufuran atau syirik akbar adalah memerlukan kepada fatwa yang mendalam dari ahli fatwa kerana ihtimal bahawa di sana terdapatnya niat-niat yang tersembunyi yang mungkin membawa kepada peringanan hukum ke atas pengamalnya, seumpama ia menanggung lafaz-lafaz tersebut di dalam masalah ini di atas wajah yang menepati iktiqad yang betul."
Dengan kefahaman ini adalah jelas bahawa penulis buku Minda Melayu Baru menyamakan perjuangan nasionalisme Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Haji Agoes Salim dengan perjuangan nasionalisme adalah tidak benar kerana nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh kedua-dua ulamak tersebut tidak melibatkan penolakan terhadap hukum Allah S.W.T. seperti nasionalisme. Ia adalah suatu penyamaan yang terburu-buru dan sebagai fitnah terhadap ulamak-ulamak Islam yang wajib ditolak. Semoga dengan penjelasan terhadap syubahat-syubahat ini akan dapat membuka kepada kita hakikat kesesatan nasionalisme itu tanpa sebarang keraguan lagi menurut timbangan syariat Islam. Wallahu A'lam wa Huwa yahdis Sabil.
Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Insan ayat 29-30 yang berbunyi:
Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan, maka barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya. Dan kamu tidak menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali bila dikehendaki Allah s.w.t. . Sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
PENUTUP
Sesungguhnya tidak ada jalan untuk melepaskan umat Islam di zaman ini seluruhnya daripada kesesatan beramal dengan fahaman nasionalisme selain daripada berusaha mendedahkan kepada umat Islam hakikat kesesatan fahaman kebangsaan atau nasionalisme itu sebagaimana juga segala ideologi kebendaan yang lain secara menyeluruh dan merata melalui kuliah-kuliah yang disampaikan di masjid-masjid, surau-surau, pondok-pondok dan segala saluran pengajian agama di tanah air. Risalah ini hanyalah suatu pengenalan yang amat ringkas tetapi sebagai amaran yang amat keras kepada Muslimin mengenai ancaman bahaya fahaman nasionalisme kepada kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Semoga Allah s.w.t. menjadikan risalah ini bermanfaat kepada penulis dan sekelian Muslimin. Amin.
Oleh Al-Faqir ila Rabbihi
Abu Abdul Halim
Kaherah, Mesir.

Selasa, 16 November 2010

Ucapan Pengerusi GAMIS Negeri Sabah Sempena Hari Raya Aidil Adha 1431 H / 2010 M.

Salam Aidil Adha dan Salam Mahasiswa.

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.'' (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)'

Berlalu Hari Raya Aidil Fitri tiba pula Hari Raya Aidil Adha. Kedua-dua hari raya ini merupakan hari kebesaran yang Allah hadiahkan untuk orang mukmin bagi menggantikan perayaan yang dirayakan mereka semasa mereka masih lagi tidak beriman kepada Allah. Aidiladha juga merupakan salah satu perayaan yang mengajak dan memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman untuk tunduk sujud kepada Allah SWT. Umat Islam merayakan Hari Raya AidilAdha dengan bertakbir pada malam 10 Zulhijjah serta diikuti solat sunat hari raya Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah dan mendengar khutbah raya. 

Daripada sorotan sirah Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail, terdapat beberapa pengajaran penting yang hanya orang-orang beriman akan merasai dan menghayati kisah mulia  hamba Allah yang taat kepada perintah TuhanNya dan berkorban tanpa ada perasaan yang berbelah bagi demi menegakkan agama Allah.

1. Kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Umat Islam setelah kejatuhan sistem khalifah Islamiyyah telah menyimpang jauh daripada memahami ajaran Islam yang sebenarnya. Lebih teruk lagi, apabila umat Islam sendiri telah mengambil ajaran selain Islam dan mengamalkan seperti ianya ajaran daripada Allah SWT.Kejatuhan moral dan jati diri dapat kita lihat daripada berita-berita yang disiarkan di media massa setiap hari. Ajaran nasrani dan yahudi dijadikan akidah menjadikan anak muda muslim lebih seronok meraikan nafsu sendiri daripada meraikan perintah Allah. Melihat kepada berita anak luar nikah dibuang, kes budak-budak sekolah berzina, hiburan yang cenderung entah ke mana dan solusi-solusi yang tidak mesra syariat malah menambah kelat permasalahan umat, menatijahkan kepada satu sahaja penyelesaian iaitu dengan mengambil semula AL-QURAN dan SUNNAH baginda Rasulullah SAW. 

Islam telah lama menyediakan manual untuk manusia hidup sebagai manusia bukannya robot yang mengikut trend semasa ataupun terikut budaya barat atau timur. Firman Allah dalam surah Al-Muzammil : 

"(Dialah) Tuhan Timur dan Barat, tidak ada Tuhan selain Dia, maka jadikanlah Dia sebagai pelindung." (73:9). 

Nabi Ibrahim menjadi contoh terbaik seorang hamba yang sering berharap kepada TuhanNya dan tidak akan memungkiri dan melupakan bahawa dia adalah seorang hamba. Marilah kita bersama-sama mengambil semula dan memaham Islam dengan menyeluruh. Islam adalah agama yang sempurna dan nikmat tertinggi Allah berikan kepada hambaNya.

"Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar)"(As-Shaffat:99)

2. Pengorbanan di jalan Allah.

Salah satu tuntutan dalam Islam adalah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada sekalian manusia termasuklah keluarga sendiri, jiran tetangga, sahabat handai, pemerintah atau sesiapa sahaja. Rasulullah memberi amanat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Islam walaupun satu ayat. 

"Dan sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." (Hadis). 

Maka penggerak Islam di mana-mana khususnya di kampus perlu mengambil ibrah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk berkorban di jalan Allah. Dimanakah kedudukan kita selaku orang yang mendapat tarbiyah dan mempunyai ilmu Islam rela berkorban  demi menyampaikan ajaran Allah SWT untuk secicit keredhaan Allah? Setakat mana kita mampu mengorbankan apa yang kita ada demi meraih cinta Allah? Nabi Ismail yang masih kecil dan belum lagi mengenal dunia tetapi telah mengenal cinta kepada Allah sehingga rela dirinya disembelih oleh ayahnya kerana mentaati perintah Allah. Semangat pengorbanan di jiwa Nabi Ibrahim A.S dan Ismail A.S perlu kita terapkan dalam diri supaya kita lebih kuat berdakwah dan tidak merasa jemu untuk berdakwah. Kesabaran adalah sangat dituntut demi memastikan ISLAM di tempat tertinggi! Jangan jemu dan jangan mengalah!

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (As-Shaffat:102).

3. Menjadi murabbi dalam masyarakat.

Keluarga Nabi Ibrahim adalah 'role model' keluarga yang sangat tinggi tabiyyah dan pengorbanan kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim berjaya mendidik keluarganya untuk memahami Islam yang sebenar dah membawa mereka mengenal Allah SWT dengan sebenar-benar kenal.Justeru, inilah yang perlu kita bawakan kepada masyarakat. Membawa mereka mengenal Allah SWT. Hari ini Tuhan manusia adalah NAFSU. Nafsu menjadi dasar apabila melakukan sesuatu dan bukan lagi ayat-ayat Allah SWT. Hal ini kerana manusia, terutama orang Islam tidak lagi mengenal Allah SWT dan tidak merasakan kemanisan mentaati perintah Allah.

(106) Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata(107) Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar(108) Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian(109) Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!(110) Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.(111) Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.(112) Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.(113)Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.[As-Shaffat:99-113]

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua mahasiswa dan umat muslimin yang bakal menyambut Aidil Adha pada tahun ini. Semoga keberkatan dan peringatan Allah pada Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini kita bawakan dalam kehidupan seharian kita. Semoga kekentalan anak muda seperti Nabi Ismail dapat kita contohi. Tingkatkan amalan harian kita dan mujahadah melawan nafsu kerana itulah erti sebenar pengorbanan. 

Allahuakbar Walillah Ilham.

MOHAMMAD ASRAF SHARAFI BIN MOHAMMAD AZHAR,
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia,
Negeri Sabah.

Ahad, 7 November 2010

Mahasiswa: Perbetulkan Persepsi Mahasiswa berkenaan Pakaian Islam

Semakin kita melepaskan pentadbiran kepada pemerintahan yang zalim maka akan semakin kusut masa depan negara. Begitulah antara hipothesis yang boleh kita simpulkan. Bagi mereka yang menyedari hakikat ini, marilah sama- sama kita beri yang terbaik kepada negara.

Jalan hidup yang diredhai ialah Islam. Maka, Islamlah kamu nescaya kamu selamat. Selamatlah negara kita kalau kita memberi mandat pemerintahan kepada pemerintah yang tepat iaitu Islam.

Pelbagai cabaran yang datang dan fitnah yang melanda ummat Islam sekarang. Bukan sahaja daripada orang- orang kafir, tetapi fitnah yang dibawa sendiri oleh orang yang mengaku Islam. Menganjurkan program Islam, tetapi hanya plastik luaran.

Pengisian yang telah merosakkan imej Islam dan memberi gambaran yang teruk kepada muslimah. Bagaimana perkara sebegini boleh terjadi?

Hal ini menunjukkan kejahilan agama berleluasa. Berlaku di sebabkan sistem pendidikan yang mengabaikan aspek akhlak dan pakaian Islam.

Sistem sekular yang megabaikan dan tidak memperkemaskan ajaran Islam kepada pelajar- pelajar sekolah. Jika di lihat di kampus- kampus juga, sistem undang- undang pakaian tidak ketat dalam perlaksanaan sahsiah rupa diri mengikut acuan Islam.

Sahsiah rupa diri yang di keluarkan seolah- olah membenarkan pakaian yang mendedahkan aurat. Tidak ada saman atau denda kepada pelajar- pelajar yang tidak menutup aurat.

Mahasiswa perlu menyedari bahawa pihak pentadbiran tidak menitik beratkan hal Islam. Maka dilepaskan begitu saja. Sebagai mahasiswa, marilah sama- sama kita sedar dan perbetulkan permasalahan ini.

Kita sebagai mahasiswa perlu menggerakkan program- program bagi menerangkan semula bentuk dan ciri- ciri pakaian muslimah serta akhlak yang di tuntut Islam.

Perlu kita membentuk pemikiran mahasiswa berkenaan pakaian Islam yang sebenar dan kita perlu mendedahkan bahawa telah banyak fitnah terhadap Islam di jalankan melalui pakaian.

Program umpamanya Fiqh wanita perlu di gerakkan. Agar mahasiswa menyedari hakikat sebenar penipuan musuh- musuh Islam.

Mahasiswa perlu menjadi agen- agen yang membawa Islam. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.

Rabu, 3 November 2010

Mahasiswa di Batu Sapi.

BATU SAPI, 3 Nov :  Sudah tiga hari mahasiswa Sabah berada di Batu Sapi bersama masyarakat untuk memimpin mereka mencorak masa depan yang terletak di tangan mereka sendiri.




Mahasiswa Sabah (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia-GAMIS Negeri Sabah).

Mahasiswa tidak memiliki kepentingan kepartian, apa yang penting bagi mahasiswa ialah prinsip bersih, amanah, telus dan adil perlu berfungsi sebaik mungkin di Batu Sapi.

Kedatangan mahasiswa ke Batu Sapi adalah bagi memastikan setiap pentas kempen sentiasa padat dengan kelantangan aktivis mahasiswa yang sentiasa optimis untuk membela rakyat.

Langkah yang baik diatur bagi menyampaikan amanah kepada masyarakat di Batu Sapi walaupun terpaksa berjalan di atas jambatan yang terlalu uzur. Inilah kegigihan mahasiswa yang patut dicontohi oleh seluruh mahasiswa yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.





Keadaan jambatan yang tidak selamat.



Perjalanan mahasiswa memasuki kawasan perkampungan di Batu Sapi.

Alhamdulillah, kedatangan mahasiswa mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di Batu Sapi. Mereka (mahasiswa) sempat beramah-mesra dengan masyarakat di sini.





Dialog bersama rakyat Batu Sapi.

(Mahasiswa berbaju jingga).



"Kami mahukan Ketua Menteri turun ke kampung kami..13 tahun kami menderita...", antara suara permintaan beberapa orang penduduk Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi.

 

Suara keperitan yang dialami oleh penduduk kampung yang telah dilontarkan kepada mahasiswa adalah satu bukti bahawa mahasiswa sudah diberikan kepercayaan oleh masyarakat untuk turun bersama masyarakat dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia yang akan datang. 




Kelihatan penduduk kampung yang sempat beramah-mesra dengan mahasiswa.

(Mahasiswa berbaju hitam).




Mahasiswa (berbaju jingga) telah mengedarkan risalah kepada masyarakat di Batu Sapi.



Harapan mahasiswa Sabah kepada masyarakat Batu Sapi agar memilih (mengundi) pemimpin yang adil bagi menjamin kehidupan yang baik pada masa akan datang. Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa ayat 58 yang bermaksud :

 

“Sesungguhnya, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar, Maha Teliti.”

 

"MEMURNIKAN GERAKAN, MEMAKNAKAN MAHASISWA"




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...