AKTIVITI

Pengikut

Isnin, 30 Mei 2011

Jahiliyyah Menurut Perspektif Al-Quran

Salah satu perkara yang menyebabkan masyarakat Islam masih berasa senang dengan corak hidup dan sistem pemerintahan(termasuk pemimpin sistem) yang sedia ada adalah disebabkan kita masih jahil tentang konsep jahiliyyah yang sebenar. Umum mungkin memahami bahawa yang dikatakan konsep jahiliyyah itu adalah hanya semata-mata perangai menanam anak perempuan, menyembah berhala dan percaya benda khurafat sahaja. Ataupun dengan melihat jahiliyyah hanya terjadi pada zaman Arab Jahiliyyah sahaja, tanpa menyedari sebenarnya jahiliyyah juga sebenarnya sedang mendekam umat Islam sekarang.

Konsep jahiliyyah sebenarnya perlu difahami dengan menurut perspektif yang ditunjukkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Jahiliyyah bukanlah bodoh ilmu tetapi lebih jauh daripada itu. Jahiliyyah adalah timangan kepada kebodohan umat terhadap ajaran Islam itu sendiri(nauzubillah). Untuk memahami apa itu jahiliyyah, kita haruslah memahami berdasarkan konsep yang diterangkan di dalam Al-Quran. Berikut adalah perspektif Al-Quran terhadap konsep jahiliyyah:

1. Tidak mentaati perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

"dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, 'Allah memerintahkan  kam agar menyembelih seekor sapi betina.'Mereka bertanya,'Apakah engkau menjadikan kami sebagai ejekan?'Dia(Musa) menjawab,'Aku berlindung kepada Allah agar tidak termasuk kepada orang-orang yang bodoh."
(al-baqarah:67)

Kisah ini menunjukkan kekerasan hati kaum yahudi terhadap perintah Allah dan Rasulnya. Kisah ini berlanjutan sehinggalah mereka bertanyakan bertalu-talu soalan kepada Nabi Musa untuk menerangkan ciri-ciri sapi untuk disembelih itu, bukannya kerana rasa ingin tahu tetapi alasan untuk tidak mentaati perintah Allah. Hampir saja kaum yahudi tidak mentaati perintah yang dikeluarkan oleh Musa A.S.

Kisah nabi Allah, Yusuf A.S memberi makna besar kepada orang mukmin supaya menghindari dari terjebaknya melawan perintah Allah. Betapa ikhlas dan tegas Nabi Yusuf yang tidak sanggup memenuhi godaan Isteri Al-Aziz untuk bersama dengannya walaupun akan dihina oleh manusia.

Yusuf berkata,"Wahai Tuhanku!Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Jika aku Engkau tidak hindarkan dari tipu daya mereka, nescaya akan aku cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentu aku akan termasuk orang-orang yang bodoh."
(Yusuf:33)

2. Berprasangka buruk terhadap Allah

"kemudian setelah kamu ditimpa kesedihan, Dia menurunkan rasa aman kepadamu(berupa) kantuk yang meliputi segolongan dari kamu(yang masih kuat keyakinannya), sedangkan segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri; mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyyah.."
(Ali Imran:154)

Semasa segelintir tentera muslimin lari meninggalkan posisi mereka di Bukit Uhud, tentera musyrikin telah kembali semula menyerang tentera muslimin sehinggakan berjaya memporak perandakan tentera muslimin. Kedahsyatan serangan mereka menyebabkan ada diantara tentera muslimin yang lari menyelamatkan diri tanpa memikirkan keselamatan Rasulullah, dan ada yang memikirkan untuk meminta bantuan dari bapa munafik Abdullah bin Ubai, dan sebahagian lagi tetap teguh mempertahankan Rasulullah di celah-celah serangan tentera musyrikin. Sehubungan dengan itu, Allah menurunkan ayat menerangkan perkara itu kepada nabi supaya menjadi tatapan umat.


3.Tidak berhukum dengan hukum Allah

"Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki?(Hukum) siapakah yang lebih baik daripada(hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini(agamanya)?"
(Al-Maidah:50)

Hukum Allah adalah lebih baik daripada hukum-hukum ciptaan manusia. Sistem Allah adalah lebih sempurna daripada sistem-sistem rekayasa manusia seperti sosialisme, kapitalisme, sekularisme dsb. Hukum Allah membawa kepada pembangunan seimbang antara iman, akhlak dan material. Merasakan bahawa hukum jahiliyyah lebih baik dan hukum Allah tidak sesuai dijalankan adalah jahil menurut Allah SWT.

4. Tabarruj berlebihan

"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias(dan bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyyah dahulu.."
(Al-Ahzab:33)

Sikap bertabarruj yang berlebihan perlu di hindari oleh kaum muslimah. Lebih menyedihkan jika bedak yang dipakai berlapis-lapis untuk ditayangkan kepada yang bukan muhrim.  Dan lebih menyedihkan jika sekiranya penggerak dakwah sendiri yang bertabarruj berlebihan semasa ada 'function' atau majlis makan malam dan seumpamanya. Perkara sebegini hendaklah dihindari. Islam tidaklah melarang untuk menghias diri, tetapi hendaklah bersikap sederhana didalamnya.Memakai bedak berlebihan sehingga lebih putih dari dinding rumah dan fesyen yang melampau bukanlah kesederhanaan yang dituntu di dalam Islam.

5.Sikap tidak mahu menerima kebenaran

Sikap ini ditunjukkan oleh golongan musyrikin Makkah semasa termeterainya perjanjian Hudaibiyyah. Semasa menulis perjanjian ini, kaum musyrikin TIDAK MAHU MENERIMA tulisan "Bismillah" dan "Muhammad Rasulullah" lalu menyuruh Rasulullah memadamkannya. Di sini terserlah keangkuhan dan kejahilan kaum musyrik untuk menerima kebenaran bahawa Allah adalah Rabbul Alamin dan Muhammad adalah pesuruh Allah. Kebenaran sebenarnya sudah terbentang, tinggal lagi kita yang perlu meletakkannya di tempat yang sebenarnya.

Begitulah di antara jahiliyyah menurut perspektif Al-Quran. Perbuatan, perlakuan atau apa sahaja tindakan jika tidak berlandaskan syariat Islam maka itu adalah jahil. Mudah-mudahan dengan mengenal konsep sebenar jahiliyyah dapat menghindarkan kita daripada terjebak ke lembah kehinaan.  Semoga kaum muslimin terlindung daripada terkena jahiliyyah seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam kitabNya.

Ayuh kaum muslimin, tinggalkan jahiliyyah dan kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenarnya!






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...