AKTIVITI

Pengikut

Jumaat, 6 Mei 2011

Hentikan Perdagangan Wanita

Saya mewakili PMIUM dan juga merangkap koordinator pertubuhan Sisters in Movement (SIM) tidak bersetuju dengan beberapa isu yang melibatkan perdagangan wanita. Lebih-lebih lagi mengenai tindakan biadab Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang mengeluarkan arahan peraturan mewajbkan pemain badminton wanita memakai skirt. Kononnya bertujuan memastikan aksi lebih menarik dapat ditonjolkan untuk menarik lebih ramai penonton dan penaja.
Saya tidak menyangka masih terdapat mentaliti mundur sebegini di dalam peradaban dunia serba maju. Tindakan biadap BWF ini memperlihatkan pertandingan-pertandingan kejohanan badminton yang melibatkan pemain wanita hanyalah medan memperagakan badan dan memperdagangkan tubuh. BWF sebenarnya sudah lari daripada matlamat sebenar kejohanan-kejohanan sukan diadakan.
Saya mewakili wanita khususnya mahasiswi mendesak agar Kementerian Belia dan Sukan membantah isu ini di peringkat nasional. Peraturan ini hakikatnya bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia yang mementingkan etika dalam pemakaian. Jika tidak ada tindakan bantahan di peringkat Kementerian, saya khuatiri peraturan ini bakal dikuatkuasakan di Malaysia.
Seperkara lagi yang lebih memualkan adalah isu video lucah yang lebih biadap memperlihatkan tubuh badan wanita seenaknya. Aksi-aksi 'dalam kelambu' sebegitu tidak patut diperlihatkan di pentas umum. Pendidikan politik lucah yang terbuka sebeginilah yang menjadi punca kehancuran pemikiran anak bangsa. Gambar-gambar aksi yang memperlihatkan tubuh badan wanita secara jelas ini memberi gambaran bahawa maruah wanita diletakkan di tempat yang paling rendah bahkan boleh dipijak-pijak.
Di zaman serba moden ini kita tidak lagi mendengar kisah-kisah diskriminasi terhadap wanita seperti yang berlaku pada zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Pada zaman tersebut bayi-bayi perempuan dibunuh dan para ibu dijadikan hamba dek kerana mempercayai wanita merupakan punca nasib malang.
Akan tetapi diskriminasi terhadap wanita tetap wujud pada zaman ini. Tndakan perdagangan wanita dengan menggunakan wanita sebagai alat pelaris berlaku di dalam masyarakat secara agresif. Saya melihat fenomena ini semakin membarah apabila tubuh badan wanita seenaknya ditayangkan dengan tujuan untuk menarik perhatian syarikat-syarikat dan para penonton demi mengaut keuntungan. Tindakan perdagangan wanita ini secara agresif berlaku di dalam industri muzik, perfileman, perlancongan, hiburan, sukan dan lain-lain.
Wanita tidak seharusnya menerima nasib menjadi alat pelaris. Islam mengangkat martabat wanita dengan menjamin pemeliharaan maruah wanita dengan sebaiknya. Di atas anjuran Islam yang membela maruah wanita ini saya menyeru kepada seluruh masyarakat bangkit mendesak pihak-pihak berwajib untuk menghentikan segera perdagangan wanita demi kesejahteraan peradaban ummat.
Rohayu Rusli,
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...